PENGAJIAN MALAYSIA

 6.1    FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA

 

6.1.1   MENGELAKKAN ANCAMAN DAN PENGARUH KOMUNIS

Pengaruh komunis yang semakin meluas di Asia Tenggara, terutama Singapura membimbangkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti yang memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. Kekalahan calon PAP dalam dua pilihanraya kecil


Pada tahun 1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh komunis semakin merebak di Singapura. Perkembangan ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura akan dikuasai oleh pihak komunis dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu. Oleh itu, Tunku berpendapat penubuhan Malaysia akan dapat menyekat pengaruh komunis daripada merebak di Singapura

6.1.2   MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK, BRUNEI DAN SINGAPURA

Menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura akan mendapat kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan. Ini memandangkan negara-negara berkenaan masih lagi berada di bawah penjajahan British semasa cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai negeri naungan.


Dalam perancangan penubuhan Persekutuan Malaysia, Malaysia akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun. Tetapi jika Sabah dan Sarawak cuba mencapai kemerdekaan secara berasingan, besar kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun sebaliknya. Jadi, dengan menyertai Malaysia, Kemerdekaan Sabah dan Sarawak boleh disegerakan

 

6.1.3   PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI

Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak langsung, negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei pula akan menjadi penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana Tanah Melayu kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber minyaknya. Manakala Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia

6.1.4   MEMBELA MASYARAKAT BUMIPUTERA DI SABAH DAN SARAWAK.

Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, nasib penduduk di wilayah ini tidak sama dengan nasib penduduk di Semenanjung Tanah Melayu, terutama golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dipegang oleh bangsa asing. Sebahagian besar penduduk pula terlibat dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem penanaman tetap hanya pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua wilayah tersebut digabungkan ke dalam Persekutuan Malaysia, Kemungkinan layanan istimewa akan diberikan kepada penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar. Malahan, kedudukan dan keistimewaan Bumiputera telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


6.1.5   MENJAGA KEPENTINGAN DAN HAK KAUM BUMIPUTERA

Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Jika Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti penduduk Melayu. Ini kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan Melayu akan menjadi golongan terbesar.


Apabila pencantuman berlaku antara Tanah Melayu dan Singapura sahaja, bilangan masyarakat Cina akan menjadi 43.5%, sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini kerana anggaran penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, orang Melayu kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%. Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum Bumiputera termasuk Melayu akan menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi 42.4%. Ini bermaksud untuk menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera tidak terancam, kemasukkan Sabah dan Sarawak membolehkan kumpulan Melayu dan Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar

6.2    REAKSI NEGARA-NEGARA JIRAN


6.2.1    FILIPINA

Presiden Macapagal mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada milik negaranya.Jadi, pembentukan Malaysia akan menyulitkan lagi tuntutan Filipina terhadap Sabah. Filipina terus membantah walaupun rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia. Filipina kemudianya memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

 6.2.2    INDONESIA

Presiden Sukarno mengumumkan dasar konfrantasinya pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’.  Alasan Sukarno ialah kerana Tanah Melayu membelakangkan Indonesia semasa penubuhan Malaysia. Tindakan ini adalah kerana penubuhan Malaysia mengancam idea pembentukan empayar Indonesia  Raya. Ianya juga merupakan taktik mengalih perhatian rakyatnya daripada beberapa masalah dalaman.


Dasar konfrantasi Sukarno memuncak dengan penghantaran Tentera Indonesia sempadan Sabah dan Sarawak. Tentara Indonesia juga mendarat di pantai barat Johor untuk pengintipan. Tindakan ini dapat dibendung sehingga rancangan konfrantasi ini menjadi semakin lemah. Pada tahun 1965, Sukarno telah digulingkan oleh Jeneral Suharto. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik membuat perjanjian damai bagi mengakhiri konfrantasi pada bulan ogos 1966.

6.3    PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

 JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)

 

Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.


Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun, perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.

 

 SURUHANJAYA COBBOLD

Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

 Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:

a.        1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan  tanpa syarat

b.            1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.

c.            1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British. Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.


 JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN

Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat laporan yang agak memuaskan, tugas untuk merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci telah dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.

Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia sebagai asas. Perlembagaan yang dibentuk ini telah disahkan oleh kerajaan British pada 9 Julai 1963. Antara perkara yang menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut ialah :

a.            Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.

b.            Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun selepas kemasukan ke dalam Persekutuan.

c.            Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan kerajaan pusat. Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah dan Sarawak bahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara tersebut.

d.            Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat pindaan.

e.            Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah kerusi.


 REFERENDUM SINGAPURA

Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan penyiasatan oleh Suruhanjaya Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan suara yang dipanggil Referendum Singapura. Kerajaan Singapura membuat keputusan untuk mengadakan referendum sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk Singapura untuk mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia. Secara keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat Singapura menolak penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan pendirian mereka yang tertentu.


Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar parti politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan pendirian mereka juga perlu diambilkira. Soal menolak sudah tidak wujud, tetapi soal penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura diberi tiga pilihan, iaitu :

a.            Pilihan A – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi).

b.            Pilihan B – rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442 undi).

c.            Pilihan C – rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah yang hampir sama seperti yang diperoleh wilayah-wilayah Borneo dengan penyertaan ini (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).

 FAKTOR YANG MENYEBABKAN PEMISAHAN SINGAPURA DARI MALAYSIA

a.         Perlembagaan.

Kebanyakkan soal yang berkaitan dengan perlembagaan berkisar tentang isu ekonomi dan kewangan. Mengikut perjanjian Malaysia, Singapura diberi kuasa untuk memungut cukai kastam, cukai eksais dan cukai pendapatan. Selain beberapa kekecualian, semua hasil yang dikutip akan dibahagikan berasaskan 60% untuk Singapura dan baki 40% lagi untuk kerajaan Persekutuan. Oleh sebab beban cukai Singapura paling ringan dan bertambahnya perbelanjaan pertahanan, akibat konfrontasi, kerajaan Persekutuan bercadang mengkaji semula agihan hasil dan Singapura perlu menyerahkan  60% daripada jumlah hasilnya dan bukanya 40% seperti yang dipersetujui sebelumnya. Cadangan ini dibantah oleh Singapura kerana mengikut perjanjian Malaysia, terdapat satu persetujuan bahawa sehingga bulan Disember 1968, kerajaan Persekutuan perlu mendapat kebenaran kerajaan Singapura sebelum mengenakan cukai import yang baharu. Kebenaran itu boleh ditangguhkan, jika sesuatu jenis cukai itu boleh menjejaskan perdagangan bebas Singapura.

 b.        Persaingan Politik Antara PAP dan MCA

Keadaan ini dapat dilihat apabila pada 9 September 1963, Lee kuan Yew telah menyatakan bahawa kegiatan politik PAP hanya terbatas di Singapura dan PAP tidak bercadang untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya di anah Melayu dalam tempoh lima tahun selepas penyatuan. Kemudianya, PAP mengubah keputusan itu dan bertanding dalam pilihanraya umum di Tanah Melayu pada tahun 1964. Pada masa tersebut Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa PAP tidak diperlukan di Tanah Melayu atas sifatnya sebagai sebuah parti perkauman Cina. Penglibatan PAP yang terlalu awal dalam kegiatan politik di Tanah Melayu juga menjejaskan perpaduan kaum, terutama hubungan UMNO dengan MCA. Malahan, PAP dikatakan berminat untuk mengantikan MCA bagi mewakili kaum Cina dalam Kerajaan Perikatan.

 c.         Masalah Perkauman

Masalah perkauman ini dapat dilihat pada hubungan antara UMNO dengan PAP yang menjadi semakin renggang akibat beberapa peristiwa yang berlaku di Singapura. Setelah menyertai Malaysia, orang Melayu di negeri itu ‘berasa diri mereka diabaikan’ dan kerajaan Singapura tidak mengambil tindakan untuk membaiki kedudukan mereka. Oleh itu, beberapa buah pertubuhan yang mewakili orang Melayu menemui Tunku Abdul Rahman untuk melaporkan perkara itu. Keadaan menjadi semakin rumit selepas Setiausaha Agong UMNO, Syed Jaafar Albar menuduh pemimpin PAP, Lee Kuan Yew cuba memecahkan perpaduan masyarakat Melayu di Singapura. Kerajaan Singapura sering mengencam golongan yang disifatkan sebagai ‘pelampau’ dalam kerajaan Persekutuan, terutama Syed Jaafar Albar yang dituduh oleh para pemimpin PAP sebagai bertanggungjawab menyebabkan tercetusnya rusuhan kaum di Singapura pada bulan Julai dan September 1964.


d.        Perbezaan Pendekatan Parti Perikatan Dan PAP

PAP berhasrat untuk mewujudkan masyarakat ‘bukan perkauman’ secara serta-merta dan berpendapat konflik timbul akibat wujudnya dua bentuk masyarakat yang berlainan. PAP berminat untuk berdebat secara terbuka dalam hampir semua isu politik dan melaksanakan dasar-dasar baharu dengan segera. Parti Perikatan terutama UMNO merupakan parti yang dibentuk dengan struktur perkauman berdasarkan masyarakat majmuk yang sedia wujud di Malaysia. Parti Perikatan berpendapat perbincangan secara terbuka tentang perbezaan kaum boleh mencetuskan ketegangan dan kekacauan. Perbezaan pendekatan dalam menghadapi isu-isu perkauman ini mencetuskan pergeseran antara Parti Perikatan dengan PAP.


This free website was made using Yola.

No HTML skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola