PENGAJIAN MALAYSIA

 Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dan kestabilan politik yang diasaskan oleh hubungan etnik yang positif dan bersifat sinergi telah menarik minat negara luar untuk mengetahui rahsia di sebalik kejayaan ini. Kekuatan hubungan yang terjalin antara etnik ini sebenarnya bukanlah untuk dihuraikan kepada orang luar, tetapi yang penting kepada rakyat Malaysia sendiri.

 

Sehingga hari ini, kebanyakan negara mahu menjadikan Malaysia sebagai model negara yang dilihat berjaya mempertahankan hubungan pelbagai etnik sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 walaupun tidak dapat dinafikan Malaysia juga mempunyai pasang-surutnya dalam menangani kemelut konflik hubungan etnik.

 

 3.1    FAKTOR MEMPENGARUHI HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

           

3.1.1     GALAKAN KEPADA PENDUDUK BERHIJRAH

Menempatkan penduduk di satu-satu kawasan boleh menggalakkan  pergaulan dan pertembungan yang lebih kerap antara sesuatu kaum.Antara langkah yang boleh dilakukan untuk membolehkan rakyat negara ini untuk berpindah dari kawasan petempatan tradisi masing-masing seperti:

a.            Menyatukan perkhidmatan awam antara semua negeri di Malaysia. Pegawai kerajaan serta keluarga mereka boleh diarahkan untuk berpindah dan berkhidmat di wilayah-wilayah yang memerlukan khidmat mereka. Selain daripada itu para pegawai ini juga boleh digalakkan untuk menyertai seminar, persidangan dan program latihan di beberapa pusat bandar. Ini adalah untuk menggalakkan para pegawai  ini berjumpa dan berinteraksi antara satu sama lain . 


b.            Mewujudkan perkembangan peluang perniagaan yang lebih baik ditempat lain. Langkah ini khusus untuk para peniaga di kawasan mundur atau di kawasan-kawasan luar bandar berhijrah ke kawasan yang lebih maju dalam usaha  untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.


 

3.1.2   PENYERAGAMAN SISTEM PENDIDIKAN (MELALUI DASAR-DASAR PELAJARAN)

Semua dasar pelajaran seperti Penyata Barnes, Fenn–Wu, Undang-Undang Pelajaran 1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan beberapa dasar yang lain yang berhubung dengan isi pendidikan berperanan untuk memupuk perpaduan. Penyata  Razak 1956 contohnya mengemukakan cadangan untuk mewujudkan satu sistem pendidikan sahaja iaitu Sistem Pendidikan Kebangsaan yang tujuannya adalah untuk mewujudkan hubungan etnik yang lebih erat di Malaysia. Dasar-dasar tersebut penting bagi memastikan pengasingan yang wujud dalam sistem pendidikan sebelum ini dapat dimansuh dan digantikan dengan sistem pendidikan yang lebih seragam dan menyeluruh.

3.1.3     PERANAN MEDIA MASSA

 

Alat-alat media massa seperti radio dan televisyen serta akhbar juga digunakan  untuk mengukuhkan hubungan etnik di negara ini. Pendedahan kepada pelbagai berita, laporan dan dasar kerajaan akan dapat mengurangkan jurang maklumat yang wujud. Ini akan dapat mengurangkan masalah prasangka akibat pelbagai maklumat yang tidak tepat. Selain itu juga media massa penting untuk mengalihkan perhatian kaum  pendatang dari tertumpu kepada maklumat dari negara asal mereka dan  memberi perhatian kepada Tanah Melayu.


3.1.4     INTEGRASI EKONOMI

Integrasi ekonomi juga memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan hubungan etnik di negara ini. Hal ini dilaksanakan melalui dasar-dasar pembangunan  seperti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan beberapa dasar lagi yang tujuannya adalah untuk mengurangkan jurang ekonomi yang wujud akibat dasar yang dilaksanakan oleh pihak British pada zaman penjajahan. Dengan terhapusnya perbezaan fungsi ekonomi mengikut kaum, perpaduan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi akan dapat diwujudkan. 


3.1.5   PENYATUAN  FAHAMAN POLITIK

Sistem kerajaan campuran yang terdiri dari pelbagai kaum merupakan satu lagi cara untuk menggabungkan fahaman politik antara kaum. Perpaduan politik penting memandangkan penduduk Malaysia terdiri dari pelbagai kaum. Justeru itu muncul Parti Perikatan, iaitu hasil gabungan UMNO, MCA dan MIC.  Ketiga-ketiga parti ini mewakili tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Kesan daripada proses penggabungan ini telah mewujudkan kestabilan dan perpaduan politik dan juga pembangunan negara. Bagi mengukuhkan asas perpaduan politik negara ini struktur perikatan parti UMNO, MCA dan MIC telah diperluaskan dengan penubuhan Barisan Nasional yang mengandungi lebih banyak parti komponen. Menerusi perpaduan politik ini maka, sebarang asas pertikaian dan pertelingkahan dapat dibenteras dan sebuah negara yang aman dan makmur dapat diwujudkan .

 3.2    PENDEKATAN MENYATUPADUKAN MASYARAKAT MALAYSIA

3.2.1   AKULTURASI

Akulturasi merupakan satu proses penyerapan budaya antara kumpulan minoriti dan majoriti. Namun demikian bukan semua aspek kehidupan yang mereka  pelajari tetapi hanyalah melibatkan aspek budaya sahaja. Dengan kata lain, hanya aspek ilmu pengetahuan, kepercayaan, seni lukis, moral dan akhlak, bahasa, undang- undang, adat resam dan lain-lain kemahiran yang dipelajari.


Sebagai contoh, amalan pemberian sampul berisi wang (angpou) dalam masyarakat Melayu, Orang Cina dan India sudah boleh berbaju  kurung, berbaju Melayu dan berkebaya. Mereka pandai makan menggunakan tangan, makan nasi lemak, menari tarian-tarian Melayu seperti Mak Yong dan Kuda Kepang, menyaksikan wayang kulit dan mempelajari seni silat


3.2.2.  DIFUSI

Difusi adalah suatu proses penyebaran unsur-unsur kebudayaan dari satu individu kepada individu lain dan dari masyarakat kepada masyarakat yang lain. Proses difusi terbahagi kepada dua jenis iaitu:

            a.         Difusi antara anggota dalam masyarakat (intra – society diffusion)

            b.         Difusi antara masyarakat (inter – society diffusion

 Terdapat beberapa faktor yang membantu kejayaan difusi di antara anggota masyarakat iaitu:

i.              Unsur baru yang disebarkan adalah berguna. Sekiranya unsur baru itu tidak berguna maka ia akan gagal untuk disebarkan. Contohnya teknologi menorah getah lebih mudah disebarkan di kampung-kampung berbanding teknologi lif. Ini kerana teknologi lif tidak berguna kepada penduduk kampung.

ii.             Individu yang menyebarkan unsur baru mempunyai peranan sosial dan kedudukan tinggi. Sekiranya individu yang menyebarkan unsur baru itu kedudukan sosialnya rendah maka difusi tidak akan berjaya. Contohnya pegawai pertanian dan pegawai MARDI lebih mudah menyebarkan penemuan-penemuan teknologi baru berbanding orang awam.

iii.            Peranan pihak kerajaan samada menyokong atau menyekat penyebaran       sesuatu unsur baru. Contohnya penyebaran ajaran sesat di Malaysia tidak berjaya kerana ia disekat oleh pihak kerajaan.

iv.           Unsur baru yang disebarkan tidak bercanggah dengan fungsi unsur lama memudahkan kejayaan difusi. Jika disebaliknya maka difusi akan gagal.


3.2.3   ASIMILASI

Asimilasi ialah satu proses percantuman dan penyatuan di antara kelompok atau individu yang berlainan kebudayaan sehingga membentuk satu kelompok  dengan kebudayaan dan identiti yang sama.Ia berkaitan dengan penyerapan sehala individu atau kelompok ke dalam kelompok lain


Asimilasi juga merupakan satu proses percampuran kumpulan-kumpulan  minoriti ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar

Faktor kejayaan proses asimilasi ialah:

i.          Kelompok minoriti sanggup membuang identiti mereka dan menerima identitikelompok majoriti. Contohnya orang Cina di  Kelantan.

ii.          Kelompok majoriti sanggup menerima kelompok minoriti dalam kehidupan mereka. Contohnya orang Jawa di Selangor.

iii.         Saiz kelompok majoriti dan minoriti tidak sama. Sekiranya saiz          kelompok majoriti  lebih  besar  maka  mudahlah berlaku  asimilasi. Jika  sebaliknya maka sukar asimilasi berlaku.

iv.        Berlaku amalgamasi (perkahwinan campur) akan memudahkan dan mempercepatkan proses asimilasi. Contohnya perkahwinan antara kaum India dan Melayu.


3.2.4   INTEGRASI

Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial, ekonomi dan  petempatan dalam sesebuah unit politik.

 

Proses integrasi banyak melibatkan penyatuan aspek fizikal, sosial, ekonomi, politik   serta melibatkan penyatuan biologikal iaitu perkahwinan campur. Proses ini lebih   menekankan ikatan batin iaitu ikatan perasaan, hati dan pemikiran sesama manusia   yang akan melahirkan identiti nasional di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.



This free website was made using Yola.

No HTML skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola